5 Syarat Nak Buat Maksiat
Written by nurqush, Wednesday,
02 January 2008
Suatu hari ada seorang lelaki
yang menemui Ibrahim bin Adham. Dia berkata, "Wahai Aba Ishak! Selama ini
aku gemar bermaksiat. Tolong berikan aku nasihat." Setelah mendengar
perkataan tersebut Ibrahim berkata, "Jika kamu mahu menerima lima syarat
dan mampu melaksanakannya, maka boleh kamu melakukan maksiat." Lelaki itu
dengan tidak sabar-sabar bertanya. "Apakah syarat-syarat itu, wahai Aba
Ishak?"
Ibrahim bin Adham berkata,
"Syarat pertama, jika kamu
bermaksiat kepada Allah, jangan memakan rezekinya." Mendengar itu dia
mengernyitkan kening seraya berkata, "Dari mana aku mahu makan? Bukankah
semua yang ada di bumi ini rezeki Allah? "Ya!" tegas Ibrahim bin
Adham. "Kalau kamu sudah memahaminya, masih mampukah memakan rezekinya,
sedangkan kamu selalu berkeinginan melanggar larangan-Nya?"
"Yang kedua," kata Ibrahim, "kalau mahu bermaksiat, jangan
tinggal di bumi-Nya! Syarat ini membuat lelaki itu terkejut setengah mati.
Ibrahim kembali berkata kepadanya, "Wahai Abdullah, fikirkanlah, apakah
kamu layak memakan rezeki- Nya dan tinggal di bumi-Nya, sedangkan kamu
melanggar segala larangan-Nya?"
"Ya! Anda benar."
kata lelaki itu. Dia kemudian menanyakan syarat yang ketiga. Ibrahim menjawab, "Kalau kamu masih mahu
bermaksiat, carilah tempat tersembunyi yang tidak dapat terlihat
oleh-Nya!" Lelaki itu kembali terperanjat dan berkata, "Wahai
Ibrahim, ini nasihat macam mana? Mana mungkin Allah tidak melihat kita?"
"Ya, kalau memang yakin demikian, apakah kamu masih berkeinginan melakukan
maksiat?" kata Ibrahim. Lelaki itu mengangguk dan meminta syarat yang
keempat.
Ibrahim melanjutkan,
"Kalau malaikat maut datang hendak mencabut rohmu, katakanlah kepadanya,
'Ketepikan kematianku dulu. Aku masih mahu bertaubat dan melakukan amal
soleh'." Kemudian lelaki itu menggelengkan kepala dan segera tersedar,
"Wahai Ibrahim, mana mungkin malaikat maut akan memenuhi
permintaanku?"
"Wahai Abdullah, kalau
kamu sudah meyakini bahawa kamu tidak boleh menunda dan mengundurkan datangnya
kematianmu, lalu bagaimana engkau boleh lari dari kemurkaan Allah?"
"Baiklah, apa syarat yang kelima?" Ibrahim pun
menjawab, "Wahai Abdullah kalau malaikat Zabaniyah datang hendak
mengiringmu ke api neraka di hari kiamat nanti, jangan engkau ikut
bersamanya."
Perkataan tersebut membuat
lelaki itu insaf. Dia berkata, "Wahai Aba Ishak, sudah pasti malaikat itu
tidak membiarkan aku menolak kehendaknya." Dia tidak tahan lagi mendengar
perkataan Ibrahim. Air matanya bercucuran. "Mulai saat ini aku bertaubat
kepada Allah." katanya sambil terisak- isak.
No comments:
Post a Comment